Yahaya   (kanan) menyampaikan sijil penganugerahan wira cilik kepada Noor Arisya  pada    Majlis Perbarisan Tahunan 2018 JBPM Perak di Meru Raya,   semalam.
Yahaya (kanan) menyampaikan sijil penganugerahan wira cilik kepada Noor Arisya pada Majlis Perbarisan Tahunan 2018 JBPM Perak di Meru Raya, semalam.
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Keberanian seorang kanak-kanak yang nekad menyelamatkan tiga adiknya ketika rumah mereka terbakar tahun lalu mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di sini, semalam.

Noor Arisya Balqis Mohd Suhale, 9, menerima anugerah Wira Cilik kerana tindakan pantasnya menyelamatkan tiga adiknya daripada rentung ketika kebakaran rumah mereka di Kampung Attaduri, Langkap dekat Teluk Intan, 14 September tahun lalu.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langkap itu turut dipuji apabila menjerit mengejutkan jirannya yang sedang tidur sambil mendukung adik perempuannya berusia lapan bulan keluar dari rumah yang terbakar.

Dia menerima sijil penganugerahan disampaikan Pengarah JBPM Perak Datuk Yahaya Madis pada Majlis Perbarisan Tahunan 2018 JBPM Perak di Meru Raya di sini, semalam.

Noor Arisya Balqis berkata, dia gembira dan berterima kasih kepada bomba yang memberi anugerah kepadanya.

Menceritakan semula detik cemas, dalam kejadian jam 2 pagi itu, dia bersama tiga adiknya yang lain sedang nyenyak tidur di ruang tamu manakala ibu bapanya, Noor Shahira Nordin, 32, dan Shahrezzal Zainal Abidin, 33, tiada di rumah.

“Saya tiba-tiba terasa badan panas dan terhidu bau asap kuat sebelum ternampak api marak di dapur dan tandas.

“Saya mendukung adik yang masih kecil serta mengejutkan dan menarik adik yang lain keluar rumah dan selepas itu pergi ke rumah jiran sebelah menjerit minta tolong,” katanya.

Menurutnya, ketika berada di luar rumah, dia turut melihat api dari rumahnya mula marak ke rumah jiran.

Ibunya, Noor Shahira berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah berikutan menghantar suaminya bekerja.

Katanya, anaknya memang seorang yang berani tetapi agak pendiam, namun tidak menyangka dia bertindak begitu berani ketika kejadian itu.

“Saya bersyukur kerana semua anak selamat,” katanya.

Sementara itu, Yahaya berkata, dia memuji keberanian ditunjukkan Noor Arisya Balqis serta kepekaannya terhadap sesuatu perkara yang penting patut dicontohi semua kanak-kanak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 5:21 AM