Nuraina Erieka Abdullah (kiri) bersama ibunya Nur Zalina Mohd Fauzi melihat kesan kebakaran rumah mereka di flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Nuraina Erieka Abdullah (kiri) bersama ibunya Nur Zalina Mohd Fauzi melihat kesan kebakaran rumah mereka di flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Keberanian seorang remaja lembam menyelamatkan adiknya yang terperangkap dalam kebakaran rumah mereka menjadi kebanggaan keluarganya dan masyarakat setempat.

Bapanya, Wan Ahmad Faiz Wan Shamsudin, 38, berkata Nuraina Erieka Abdullah, 13, dilahirkan lembam, namun mampu membantu keluarga terutama untuk menjaga adiknya ketika dia dan isteri keluar bekerja.

Menurutnya, dalam kebakaran rumah sewanya di flat Taman Anggerik Desa, Jalan Beserah, pada 9.30 malam Rabu lalu, Nuraina Erieka berjaya membawa keluar adiknya berusia setahun tiga bulan yang terperangkap dalam bilik.

"Ketika kebakaran, saya dan isteri, Nur Zalina Mohd Fauzi, 38, ke rumah ibunya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah dan ketika itu, anak bongsu tidur di dalam bilik.

"Saya difahamkan Nuraina Erieka yang pada mulanya turun menyelamatkan diri kembali naik ke tingkat tiga rumah selepas mendapati adik bongsunya masih berada dalam bilik tidur.

"Dia (Nuraina Erieka) bertindak berani meredah asap tebal dan bahang api bagi menyelamatkan adiknya dan keberaniannya amat membanggakan kami sekeluarga," katanya.

Beliau berkata, sekiranya Nuraina Erieka tidak segera menyelamatkan adiknya kemungkinan kejadian buruk berlaku disebabkan asap tebal memenuhi rumah ketika itu.

Katanya, dia bersyukur kerana walaupun berstatus remaja istimewa, Nuraina Erieka memiliki sifat kasih sayang serta tanggungjawab membantu ketika dalam kecemasan.

Sementara itu, Nur Zalina berkata, dia terharu setiap kali teringatkan kesungguhan anak sulungnya itu yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu, di sini meredah asap tebal untuk menyelamatkan adiknya.

"Kebakaran berpunca daripada kebocoran paip dapur gas, api cepat merebak menyambar dinding dan siling dan kejadian itu menyebabkan kami sekeluarga menumpang inap desa disediakan individu prihatin.

"Berbekalkan pendapatan tidak seberapa sebagai peniaga jagung, saya buntu memikirkan sampai bila terpaksa menumpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 4:10 PM