Putrajaya: Anugerah Pingat Hang Tuah yang diperkenalkan pada 1960 kepada tokoh kanak-kanak negara diwujudkan kembali bagi memberi pengiktirafan kepada golongan terbabit yang menunjukkan keberanian luar biasa.

Kali terakhir anugerah itu disampaikan kepada pemenangnya pada 2007 dan pada tahun ini, ia diwujudkan kembali sempena sambutan Hari Kanak-kanak dan Warga Emas Sedunia yang akan diadakan pada 1 November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Norani Mohd Hashim berkata, kewujudan semula anugerah itu bagi menzahirkan pengiktirafan dan penghormatan kerajaan kepada kanak-kanak yang pernah berjasa kepada masyarakat.

"Antara kriteria perlu dipenuhi calon termasuk kanak-kanak lelaki atau perempuan warga negara Malaysia di bawah usia 18 tahun, pernah melakukan tindakan yang mempunyai elemen keberanian luar biasa termasuk menyelamatkan nyawa manusia atau harta benda sewaktu kecemasan, bencana, kemalangan atau darurat.

"Mereka yang dicalonkan juga tidak boleh memiliki rekod jenayah atau pernah terbabit dalam sebarang kes akhlak atau moral serta kejadian membabitkan elemen keberanian itu mesti berlaku antara 1 Januari hingga 31 September lalu," katanya pada sidang media sempena Majlis Prapelancaran Anugerah Pingat Hang Tuah 2014, semalam.

Hadir sama, penerima Anugerah Pingat Hang Tuah 2006 dan 2007, Muhammad Firdaus Haris, 21, serta Muhammad Zulfahmi Zuraidi, 18.

Anugerah Pingat Hang Tuah diperkenalkan pada 1960 diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarkan keberanian luar biasa mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:14 AM