Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Sebanyak 75 peratus pesakit Covid-19 disahkan positif pada hari pertama manakala bakinya pada hari ke-13.

Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham menasihati individu yang diminta melakukan arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) atau kontak rapat pesakit supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari

"Kalau buat ujian pertama negatif sekalipun, ada kemungkinan mereka dapat (disahkan) positif iaitu 25 peratus pada hari ke 13.

"Jadi, wajib setiap mereka yakni yang mendapat arahan HSO atau kontak rapat dikuarantin 14 hari," katanya pada sidang media hari ini.

FOTO Bernama
FOTO Bernama

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM mengalu-alukan bantuan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya di pusat rawatan risiko rendah serta lapangan kesihatan awam.

Katanya, keterbukaan itu seiring dengan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat diamalkan oleh KKM.

"Setakat ini, terdapat 19 pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah yang mana kita memerlukan tambahan sumber manusia untuk menjalankan aktiviti kesihatan dalam pusat dan kesihatan awam di lapangan.

"Seramai 492 kakitangan perubatan dan 52 anggota kesihatan awam digerakkan secara dalaman di Sabah sejak sebulan yang lalu.

"Manakala 175 kakitangan perubatan dan 48 anggota kesihatan awam digerakkan dari negeri lain ke Sabah sehingga 14 Oktober lalu. Ia menjadikan sejumlah 767 anggota pelbagai kategori digerakkan ke Sabah sehingga kini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 8:49 PM