Muhaamad Hafis Nawawi dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Terdapat empat kluster baharu dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini di Sabah dan Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah Kluster Liawan, Kluster Tatahan, Kluster GK Tawau dan Kluster Kube.

Menurutnya, Kluster Liawan membabitkan Keningau di Sabah dengan kes indeks (iaitu kes ke-37,553) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 November lalu dan sudah dimasukkan ke Hospital Keningau.

"Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 23 lagi kes positif Covid-19 dan kes ini dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Keningau, Sabah.

"Kluster Tatahan pula membabitkan Kota Kinabalu di Sabah yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-32,597) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 1 November lalu," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, saringan kontak rapat Kluster Tatahan mengesan sebanyak 17 lagi kes positif Covid-19 dan semua pesakit ditempatkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Kota Kinabalu.

"Bagi Kluster GK Tawai, ia membabitkan daerah Tawau, Sabah yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-12,923) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 6 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 48 lagi kes positif dan kesemua pesakit dimasukkan ke Hospital Tawau," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu Kluster Kube di Kota Bharu dan Tanah Merah, Kelantan dikesan selepas kes indeks (iaitu kes ke 40,206) dikenal pasti positif Covid-19 pada 7 November lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif Covid-19 di mana kesemua kes dimasukkan ke Hospital Tumpat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya.

PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk. FOTO Danial Saad.
PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk. FOTO Danial Saad.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 6:42 PM