GELANG merah jambu bagi mereka yang berisiko dan sudah menjalani ujian calitan. FOTO Arkib NSTP.
GELANG merah jambu bagi mereka yang berisiko dan sudah menjalani ujian calitan. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pejabat Kesihatan Daerah bertanggungjawab mengenal pasti kontak rapat kepada pesakit Covid-19, yang mana akan membabitkan individu bersemuka secara langsung dengan pesakit dalam jarak kurang satu meter.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kontak rapat juga adalah mereka yang mempunyai kontak fizikal dalam tempoh 14 hari daripada tarikh jangkitan, selain petugas kesihatan yang memberi rawatan tanpa alat perlindungan diri (PPE) lengkap dan ahli keluarga tinggal serumah dengan pesakit.

Untuk itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak keliru dengan definisi kontak rapat dan mereka yang diminta menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

"PKD mengenal pasti kontak rapat berdasarkan siasatan lapangan dan penilaian risiko yang dijalankan dan boleh juga jadi individu yang duduk kurang satu meter dengan pesakit seperti di pejabat atau dalam kelas, selain mereka mengembara bersama dan duduk dalam jarak dekat sepanjang tempoh perjalanan.

"HSO pula akan diberikan kepada individu yang mempunyai gejala ringan dan tidak memenuhi kriteria bagi kemasukan ke wad iaitu Kes Yang Disyaki (PUI), selain individu tidak bergejala, namun mempunyai sejarah berkaitan epidemiologi seperti kontak rapat kepada kes yang dijangkiti Covid-19 iaitu Pesakit Dalam Pemantauan (PUS).

"Bagi individu yang pernah berhubung dengan kes positif namun, tidak dikenal pasti sebagai kontak rapat, tidak akan diberikan HSO atau pemakaian gelang," katanya dalam hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menasihati individu itu supaya menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan masing-masing sepanjang tempoh 14 hari.

Katanya, golongan itu juga perlu mengamalkan nasihat kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.



  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 12:33 PM