KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan barangan keperluan pengguna di sebuah pasaraya di Bukit Tinggi bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah mencukupi sepanjang tempoh PKPB Mukim Klang. FOTO IHSAN KPDNHEP
KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan barangan keperluan pengguna di sebuah pasaraya di Bukit Tinggi bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah mencukupi sepanjang tempoh PKPB Mukim Klang. FOTO IHSAN KPDNHEP
Ruwaida Md Zain

Klang: Tidak perlu membuat pembelian panik atau menyerbu pasar raya berikutan bekalan barang keperluan pengguna mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan Mukim Klang.

Jaminan itu dinyatakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor susulan pemeriksaan dan pemantauan dilakukan di semua daerah di Selangor.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan itu dilakukan bagi memastikan keperluan barangan makanan tidak terganggu semasa PKPB khususnya di daerah Klang.

"KPDNHEP Selangor semalam, menjalankan pemeriksaan barangan keperluan pengguna di sebuah pasaraya Bukit Tinggi bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah mencukupi sepanjang tempoh PKPB.

"KPDNHEP Selangor juga ingin memastikan tiada berlaku sebarang manipulasi harga yang membebankan rakyat," katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata, pihak pasar raya turut mengambil langkah dengan meningkatkan penghantaran barangan keperluan dengan lebih kerap.

"Pihak pasar raya juga mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pembelian barang keperluan secara dalam talian dan penghantaran pesanan sekitar Klang hingga ke Jenjarom.

"Ini juga satu langkah membendung penyebaran wabak Covid-19 di samping penjimatan masa dan tenaga pengguna dengan hanya duduk di rumah sahaja," katanya.

Dalam pada itu katanya, KPDNHEP Selangor juga menjalankan pemeriksaan ke atas 2,526 premis bagi perniagaan barangan keperluan sejak dua minggu lalu.

"Ini bagi memastikan sebarang kekurangan bekalan barangan keperluan dapat dikesan lebih awal dan tindakan pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, bagi aduan awam berkaitan kekurangan barangan keperluan, KPDNHEP Selangor menerima sejumlah 21 aduan bagi tempoh 1 Jan hingga 17 Mac lalu (sebelum PKP), manakala sejumlah 118 aduan diterima bagi tempoh 18 Mac hingga 8 Oktober (semasa PKP).

"Tindakan ke atas aduan terbabit diselesaikan dengan memastikan bekalan pulih di lokasi-lokasi yang diadukan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 6:00 PM