Ruwaida Md Zain

SEKUMPULAN warga Pakistan lari lintang pukang sebaik premis mereka diserbu sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, pagi semalam.

Difahamkan kumpulan itu sedang mengemas serta menyusun stok jeans tiruan yang dijual di premis mereka di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh.

Dalam serbuan jam 9.30 pagi itu, sepasukan 16 anggota KPDNHEP diketuai Pegawai Penguatkuasa, Mohd Zarif Anwar Mohd Ali menyerbu premis itu yang menyimpan pakaian tiruan jenama Levi's, Gucci dan Adidas.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya berjaya menangkap tiga suspek yang dipercayai pemilik atau pekerja premis itu.

"Hasil pemeriksaan terhadap tiga premis itu menemui 3,734 helai pakaian jenama Levi's, Gucci dan Adidas cetak rompak.

"Kami turut merampas dua van Toyota Hiace yang dipercayai digunakan untuk tujuan mengangkut barangan tiruan itu. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM178,616," katanya dalam satu sidang media di Shah Alam tadi.

Muhamad Zikril Azan berkata, siasatan mendapati dua daripada suspek ditahan mempunyai taraf penduduk tetap dan seorang mempunyai pasport dalam tempoh sah.

"Kesemua suspek dalam lingkungan usia 30 hingga 40-an dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan bermula hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b)(c) Akta Cap Dagangan 2019. Ini adalah tindakan kes pertama bagi KPDNHEP Negeri Selangor mengikut Akta Cap Dagangan 2019 selepas pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Beliau berkata, serbuan ke atas premis dijalankan susulan risikan selama tiga minggu hasil aduan pemilik cap dagangan.

"Premis ini dipercayai menjadi stor penyimpanan stok barangan tiruan yang diniagakan dan pasaran sekitar Lembah Klang.

"Kami percaya stor ini beroperasi sejak kira-kira setahun lalu, namun kami masih menjalankan siasatan bagi mengetahui status premis ini termasuk siapa pemiliknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 4:14 PM
MUHAMAD Zikril Azan (dua kanan) menunjukkan seluar berjenama tiruan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
MUHAMAD Zikril Azan (dua kanan) menunjukkan seluar berjenama tiruan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar