SERAMAI 70 guru daerah Lipis mengikuti Progran Menangani Stres anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah ( PPD) Lipis. FOTO ROSELAN AB MALEK
SERAMAI 70 guru daerah Lipis mengikuti Progran Menangani Stres anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah ( PPD) Lipis. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek

Lipis: Stres atau tekanan boleh meninggalkan impak negatif kepada tugas pendidik, keluarga dan organisasi keseluruhannya jika ia tidak dapat ditangani dengan bijak oleh seorang guru.

Pegawai Pendidikan Daerah Lipis, Amin Nollah Lateh berkata, guru perlu pandai mengimbangi emosi mereka dengan baik dalam menghadapi pelbagai masalah dan rintangan, terutamanya dalam norma baru ketika pandemik Covid-19 ini.

Katanya, ada guru menghadapi kesukaran untuk melakukan pengajaran dan pembelajaran dalam norma baharu.

"Malah ia turut memberi tekanan dan stres kepada guru-guru kerana ia membataskan segala aktiviti yang dirancang sebelum ini.

"Kekurangan latihan tentang kaedah menangani stres dalam kalangan guru dilihat sebagai faktor menyebabkan ia menjadi ancaman utama profesion perguruan pada masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Progran Menangani Stres anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah ( PPD) Lipis yang dihadiri oleh seramai 70 guru daerah Lipis.

Katanya, program ini diharap dapat memberi input berguna dan cara yang sesuai untuk diterapkan dalam diri guru supaya tidak berlaku impak negatif yang mendatangkan penyakit buat guru-guru.

Katanya melalui program ini ia memberi pendedahan tentang teknik menguruskan stres dengan bijak dan baik terutamanya pengajaran dalam norma baru.

"Program ini dapat memotivasikan diri guru supaya mereka dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka dengan baik dan telus.

"PPD menghargai guru yang bertungkus lumus dalam menjalankan tanggungjawab mereka meskipun dalam keadaan stres yang maksimum," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 4:34 PM