KAMAROZAMAN (dua dari kiri) menyambut baik tindakan Kementerian Pendidikan. -Foto fail
KAMAROZAMAN (dua dari kiri) menyambut baik tindakan Kementerian Pendidikan. -Foto fail
Nor Akmar Samudin


KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa pelantikan jawatan ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara sebelum ini mengikut cita rasa pihak tertentu.

Sehubungan itu Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak berkata, pihaknya menyambut baik tindakan Kementerian Pendidikan membekukan serta-merta semua pemindahan dalaman pelantikan dan kenaikan pangkat membabitkan jabatan dan pejabat terbabit.

Katanya, sepatutnya kekosongan jawatan itu perlu diiklankan atau guru-guru sendiri yang memohon.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa kekangan menyebabkan jawatan yang ditawarkan di JPN dan PPD ‘kurang menarik’ minat guru-guru untuk memohon lantas kerajaan terdahulu ‘meletakkan’ rakan-rakan politik mereka di situ.

“Menjadi guru di sekolah lebih menarik berbanding berkhidmat di kedua-dua jabatan terbabit terutama berkaitan kenaikan pangkat, sebab itu jawatan berkenaan hanya diisi oleh rakan-rakan politik saja. Kesatuan bimbang jika guru-guru yang tidak minat mengajar diserapkan ke PPD, akan mendatangkan risiko mereka tidak mampu berkhidmat dengan baik.

“PPD memerlukan guru-guru yang cemerlang dan berpengalaman kerana mereka akan bertindak selaku pembimbing kepada guru-guru di sekolah yang berhadapan dengan masalah mengajar dan pelajar di sekolah.

“Jadi kesatuan setuju kementerian membekukan pemindahan dalam, pelantikan dan kenaikan pangkat sehingga mendapat penyelesaian yang baru dan melakukan penstrukturan semula. Bukan saja masalah kroni tetapi ada pelbagai masalah lain lagi dan kementerian perlu mengadakan garis panduan yang jelas agar pegawai di sana dapat berkhidmat dengan cemerlang.

“Masalah lain dihadapi di JPN dan PPD, banyak beban kerana tiada pembantu yang membantu pegawai bertugas.

“Pegawai PPD terpaksa melakukan lawatan ke sekolah-sekolah dan sejak tiga tahun kebelakangan ini mereka tidak boleh menuntut elaun perjalanan, makan dan penginapan kerana tiada bajet.

“Kesatuan juga berharap kementerian dapat menilai semula kedudukan gred di JPN dan PPD agar lebih tinggi daripada gred berkhidmat di sekolah, barulah guru-guru berminat untuk meneruskan khidmat di sana.

“PPD memerlukan guru-guru yang berpengalaman dan berkhidmat lebih 20 tahun agar nasihat mereka didengar dan pendapat mereka diterima kerana apabila sekolah ada masalah, mereka akan merujuk kepada pegawai-pegawai di PPD.

“Isu ini sudah lama dan kesatuan berharap kementerian dapat melakukan penstrukturan dengan segera agar dapat memperkasakan JPN dan PPD,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Selangor, Sukimin Juki, ketika dihubungi, enggan mengulas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 6:59 PM