AHLI Lajnah Kebajikan PAS Negeri Sembilan membawa katil boleh laras untuk disumbangkan kepada arwah Raja Mat Nor Raja Omar yang meninggal dunia sebelum sempat menggunakannya. FOTO Mohd Khidir Zakaria
AHLI Lajnah Kebajikan PAS Negeri Sembilan membawa katil boleh laras untuk disumbangkan kepada arwah Raja Mat Nor Raja Omar yang meninggal dunia sebelum sempat menggunakannya. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Tampin: Hasrat menyumbang katil boleh laras untuk kegunaan pesakit tidak kesampaian apabila penerima sumbangan itu terlebih dahulu mengadap Ilahi, semalam.

Pengerusi Lajnah Kebajikan Pas Negeri Sembilan Ishak Omar berkata, beliau bersama kumpulan kebajikan itu bergerak dari Air Mawang, Johol selepas mengambil katil pesakit dan menghantarnya ke Felda Bukit Rokan, Gemencheh.

Katanya, katil itu disumbangkan susulan maklumat ziarah kasih sebelum ini apabila pihaknya dimaklumkan pesakit kanser paru-paru tahap empat, Raja Mat Nor Raja Omar, 78, memerlukan sumbangan itu.

"Rombongan kami tiba 12.45 tengah hari dan terus memasang katil sementara menunggu lapik tilam untuk sedia digunakan pesakit (Raja Mat Nor).

"Namun tidak sempat apabila pesakit ini menghembuskan nafas terakhir pada 1.08 tengah hari," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihaknya bersama penduduk kampung mengikuti majlis tahlil yang diadakan untuk arwah sebelum rombongan mereka bergerak pulang.

"Ini pengalaman pertama kami yang menyantuni pesakit dan meninggal dunia sebelum sempat menggunakannya (katil boleh laras).

"Katil ini kami akan bawa pulang dan akan kami sumbangkan kepada mereka yang memerlukan dan kami berdoa agar arwah ditempatkan bersama golongan yang beriman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 11:24 PM