Pasukan khas Umno Bahagian Tebrau mempergiat usaha membantu keluarga kurang berkemampuan dan golongan menjalani kuarantin kendiri. FOTO Ihsan Umno Bahagian Tebrau
Pasukan khas Umno Bahagian Tebrau mempergiat usaha membantu keluarga kurang berkemampuan dan golongan menjalani kuarantin kendiri. FOTO Ihsan Umno Bahagian Tebrau
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sejumlah 9,000 bungkusan barangan keperluan harian diagihkan UMNO Bahagian Tebrau sejak awal pandemik Covid-19 hingga kini bagi membantu meringankan golongan terjejas.

Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, antara golongan sasaran adalah keluarga kurang berkemampuan dan individu menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban golongan berkenaan sekali gus mengelakkan masalah terputus bekalan makanan.

"Inisiatif berkenaan sudah bermula sejak tahun lalu namun dipergiatkan lagi berikutan peningkatan kes di negeri ini terutama di sekitar mukim Tebrau.

"Selain barangan makanan serta keperluan harian dan ubatan, kami turut menghantar katil hospital untuk digunakan pesakit warga emas dan golongan kurang upaya ketika menjalani kuarantin di rumah.

"Katil mudah alih ini sedikit sebanyak memudahkan pergerakan pesakit ketika menjalani kuarantin di rumah

"Katil ini adalah sumbangan UMNO dan MCA yang digunakan secara pinjaman kepada pesakit dan apabila mereka pulih, ia akan diambil semula, dicuci serta disanitasi untuk dipinjamkan kepada pesakit lain pula," katanya.

Maulizan berkata, pasukan khas diketuai pengerusi Biro Kebajikan UMNO Tebrau, Alaudin Hameed juga bergerak secara sistematik bagi memastikan tiada penduduk terutama golongan kurang berkemampuan terlepas pandang.

Beliau berkata, pasukan khas berkenaan yang sentiasa mendapatkan maklumat daripada ketua komuniti di sekitar mukim Tebrau dalam menjejaki golongan terjejas serta menyalurkan barangan keperluan.

Menurutnya, selain barangan keperluan serta katil, pihaknya juga membantu pesakit dikuarantin untuk mengambil ubatan di klinik kerajaan jika mereka mengalami penyakit lain.

"Kita sedar petugas perubatan amat sibuk menangani pandemik ini maka ini adalah salah satu usaha kita sebagai pemimpin komuniti memudah serta membantu pesakit yang di kuarantin di rumah.

"Selain itu, kami juga membantu Pejabat Daerah Johor Bahru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ketua kampung mengadakan program vaksin di kampung-kampung dalam mukim ini antaranya di Kampung Perigi Acheh, Kong Kong, Pasir Putih, Sungai Tiram dan Tanjung Langsat," katanya.

Maulizan berkata, apabila program vaksin dilaksanakan di kawasan kampung, tidak lagi timbul masalah pengangkutan dan perjalanan terutama bagi warga emas untuk ke pusat vaksin yang terlalu jauh dari rumah mereka.

"Ia sekali gus membantu kerajaan dalam mempercepatkan imuniti kelompok di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 4:27 PM