Aina Abdul
Aina Abdul
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Baju yang digayakan penyanyi, Aina Abdul pada Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36), malam tadi mendapat pelbagai reaksi netizen.

Aina yang mempertaruhkan lagu Sepi itu mengenakan busana warna putih rekaan pereka fesyen Masyadi Mansoor.

Masyadi berkata, rekaan baju itu mendapat inspirasi daripada katil selain

ada yang menyamakan rekaan bantuan pereka fesyen Shazleen Jalal itu dengan gumpalan awan putih.

"Rekaan busana ini saya dapat inspirasi daripada katil. Sebelum saya mula mereka pakaian ini, saya berbual dahulu dengan Aina. Saya mendapat tahu idea mencipta lagu Sepi sebelum dia tidur dan ketika itu, dia sedang berada di atas katil.

"Katil membawa perlambangan yang sangat besar. Setelah seharian bekerja, katil adalah tempat di mana semua orang mula berfikir mengenai diri sendiri, bukannya orang atau perkara lain. Katil juga adalah tempat orang mula berhubung dengan diri sendiri dan tidak mengendahkan kata-kata negatif," katanya.

Menurut Masyadi, busana itu juga diilhamkan daripada lirik lagu Sepi.

"Saya turut mendapat inspirasi daripada lirik lagu Sepi itu sendiri yang melambangkan kekuatan dan semangat.

"Jadi, 'long tailored suit' bersama 'long oversize puffer cape' serba putih itu melambangkan wanita yang ingin bergerak terus melangkah meninggalkan kisah lamanya," katanya.

Selain Sepi, Aina juga mempertaruhkan lagu Nafas Cinta, duet bersama Khai Bahar yang bakal dipersembahkan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 11:21 AM