GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Katil wad pesakit Covid-19 di dua hospital kerajaan di negeri ini mencatatkan penggunaan hampir 100 peratus.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, hospital berkenaan adalah Hospital Kulim dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Sungai Petani.

Manakala penggunaan katil di wad hospital kerajaan lain berada pada tahap lebih 75 peratus daripada kapasiti yang mampu ditampung ketika ini.

"Katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kulim sudah mencecah 100 peratus penggunaan manakala wad Covid-19 juga sudah hampir mencecah 100 peratus.

"Malah keadaan di HSAH juga lebih kurang sama," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kedah terus mencatatkan peningkatan kes baharu Covid-19 hari ini, iaitu sebanyak 937 kes berbanding 800 kes semalam, dengan dua daerah kes aktif tertinggi dicatatkan di daerah Kuala Muda dan Kulim.

Mengulas lanjut, Dr Othman berkata, berikutan keadaan semasa, terdapat kes pesakit Covid-19 di Hospital Kulim terpaksa dirujuk ke hospital hibrid daerah lain yang terdapat kekosongan katil.

"Antaranya mereka dimasukkan ke Hospital Sik dan Hospital Baling. Keadaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pula sehingga kini masih terkawal dengan persediaan banyak dilakukan untuk kawasan di utara negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 6:05 PM