TAPIR mati akibat dilanggar di Jalan Batang Rokan, Gemencheh. FOTO Ihsan Pembaca
TAPIR mati akibat dilanggar di Jalan Batang Rokan, Gemencheh. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Amin Jalil


Tampin: Dua lelaki yang menunggang motosikal cedera selepas melanggar tapir di Jalan Batang Rokan, di Gemencheh, malam tadi.

Kejadian 8.30 malam berhampiran sebuah sekolah memandu itu juga menyebabkan tapir berkenaan mati.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, mangsa yang masing-masing berusia 19 tahun itu dalam perjalanan dari Felda Bukit Rokan menuju ke Pekan Gemencheh.

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor tapir melintas. Mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar tapir berkenaan.

"Akibat perlanggaran itu, tapir berkenaan mati, manakala penunggang motosikal cedera di kepala dan pemboncengnya patah tangan dan paha kiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua remaja itu dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 5:30 PM