Polis mengangkat mayat lelaki warga Myanmar yang mati dipukul rakan senegara di sebuah rumah di kolam udang di Kampung Acheh, Sitiawan. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Polis mengangkat mayat lelaki warga Myanmar yang mati dipukul rakan senegara di sebuah rumah di kolam udang di Kampung Acheh, Sitiawan. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Lelaki warga Myanmar ditemui maut dipercayai dipukul rakan senegara di pondok sebuah kolam udang Kampung Acheh, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa ditemui rakan sekerjanya sebelum memaklumkan kepada majikan mereka.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 9.30 pagi.

Menurutnya, anggota polis yang tiba di lokasi menemui mayat mangsa berusia 30-an dalam keadaan berlumuran darah.

"Siasatan awal menemui kesan kecederaan di bahagian kepala mangsa disyaki akibat dipukul oleh suspek," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa bekerja di kolam udang itu bersama dua pekerja lain, manakala suspek pula adalah bekas pekerja dan menumpang tidur di situ.

"Mangsa dan suspek dipercayai bergaduh, namun punca pergaduhan masih dalam siasatan termasuk senjata yang digunakan," katanya.

Menurutnya, polis menahan suspek berusia 20-an dengan bantuan majikan mangsa selepas dia dipercayai cuba melarikan diri selepas kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 6:18 PM