Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Lelaki warga Bangladesh maut dibunuh rakan senegara dalam pergaduhan di tingkat atas bumbung sebuah bangunan kedai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.07 pagi.

Menurutnya, mangsa berusia 39 tahun itu bekerja sebagai operator di sebuah kilang dan suspek berusia 26 tahun juga operator di kilang sama.

"Mangsa dan suspek tinggal di rumah yang sama bersama tujuh lagi lelaki warga Bangladesh. Dua lelaki itu dipercayai naik ke tingkat atas bumbung untuk berbual, manakala yang lain tidur di tingkat bawah.

"Pada jam lebih kurang 3 pagi, seorang rakan serumah mangsa terdengar bunyi bising dari tingkat atas bumbung seperti orang meminta tolong lalu dia mengejutkan rakannya yang lain dan terus pergi ke tingkat atas," katanya di sini.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, mereka melihat mangsa sudah terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek serta berlumuran darah.

"Siasatan awal mendapati ada lima kesan tikaman di bahagian badan mangsa dan tiada sebarang senjata dijumpai di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun punca dan motif kejadian masih dalam siasatan. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk bedah siasat," katanya.

Nor Omar berkata, suspek utama melarikan diri, manakala tujuh lelaki warga Bangladesh ditahan untuk membantu siasatan.

"Kesemua tangkapan mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini. Kes

disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ashazarul Khairi Ab Hamid ditalian 012-5077026," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 7:20 PM