Noor Hidayah Tanzizi

[email protected].

Sitiawan: Seramai 31 pekerja syarikat minyak dan gas (O&G) serta kilang ayam di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, di sini, dikompaun kerana tidak mengemaskini status kesihatan di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja, hari ini.

Malah, dua pengusaha kantin di premis syarikat O&G berkenaan juga masing-masing dikompaun RM10,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal di kantin mereka.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesalahan itu dikesan dalam pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Polis mengeluarkan kompaun masing-masing berjumlah RM2,000 kepada 29 pekerja syarikat O&G, manakala kompaun RM1,500 terhadap dua pekerja kilang ayam kerana tidak mengemaskini status kesihatan mereka dalam MySejahtera.

"Manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula mengeluarkan dua kompaun kepada dua pengusaha kantin" katanya pada sidang media di lokasi operasi, hari ini.

Operasi itu turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

PEKERJA di Kampung Acheh, Sitiawan gagal mengemas kini status kesihatan mereka dalam MySejahtera. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
PEKERJA di Kampung Acheh, Sitiawan gagal mengemas kini status kesihatan mereka dalam MySejahtera. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Nor Omar berkata, majikan perlu memastikan pekerja mereka mengemas kini status kesihatan bagi memastikan hanya individu yang sihat dan tanpa gejala saja dibenarkan berada di premis.

Menurutnya, syarikat yang mempunyai ramai pekerja perlu mewujudkan pasukan atau badan bertanggungjawab untuk memantau tahap kesihatan serta pematuhan SOP di tempat kerja bagi mengelakkan penularan Covid-19 di premis masing-masing.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya mengemas kini status kesihatan mereka, namun tahap kesedaran untuk perkara itu dilihat masih kurang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 5:37 PM