TANAMAN halia bentong secara fertigasi yang dijalankan di PPK Padang Siding dilihat mampu membantu petani memenuhi keperluan halia bentong dalam negara. FOTO ihsan PPK
TANAMAN halia bentong secara fertigasi yang dijalankan di PPK Padang Siding dilihat mampu membantu petani memenuhi keperluan halia bentong dalam negara. FOTO ihsan PPK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Perlis menyasarkan menjadi pengeluar utama tanaman halia bentong dalam negara untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Nurulhisham Yaakob berkata, penanaman halia bentong itu sudah mula dijalankan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang Siding, Arau pada tahun ini.

Menurutnya, ketika ini halia bentong di dalam negara dilihat tidak mencukupi untuk menampung keperluan, selain permintaannya kian meningkat.

"Ketika ini permintaan halia bentong dalam negara sebanyak 4,500 tan metrik dalam setahun, namun pengusaha hanya mampu menyediakan tidak sampai 1,000 tan metrik.

"Ini sebagai satu peluang kepada petani kerana penjagaannya tidak rumit, selain dapat menjana pendapatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Nurulhisham berkata, tanaman berkenaan akan dilakukan secara fertigasi kerana lebih fleksibel dan tidak memerlukan kapasiti tanah atau ruang yang besar.

"Setakat ini di PPK Padang Siding sudah memulakan tanaman 11,000 pokok halia bentong di dalam polibeg dan dijangka mampu mengeluarkan lebih 1.5 tan bekalan halia bentong dalam sebulan.

"Manakala di 11 PPK lagi akan memulakan tanaman berkenaan dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan semasa halia bentong dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 2:40 PM