CHE Osman dan isterinya  meninjau tanaman Halia Bentong yang diusahakan di TKPM Inderapura.
CHE Osman dan isterinya meninjau tanaman Halia Bentong yang diusahakan di TKPM Inderapura.
Mohd Rafi Mamat


KUANTAN: Kegagalan projek tanaman cili yang dialaminya beberapa tahun lalu dan terpaksa pula menanggung kerugian lebih RM100,000 langsung tidak membuatkan Che Osman Senik, 56, serik untuk terus berbudi kepada tanah.

Malah otaknya ligat memikirkan projek tanaman lain dan berani mencuba sesuatu baru sehinggalah terdetik mencuba projek tanaman Halia Bentong secara fertigasi sejak Mei lalu.

Meskipun projek berkenaan memerlukan modal yang agak besar iaitu kira-kira RM70,000, namun itu tidak menjadi halangan baginya untuk mengusahakan tanaman berkenaan.

Katanya, dia menanam Halia Bentong itu di dalam 8,000 polibeg yang diusahakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura.

“Saya menggunakan 400 kilogram benih yang dibekalkan seorang pembekal dan jika mengikut jadual, hasilnya akan dapat dituai secara berperingkat bermula Oktober depan.

“Penjagaan tanaman ini amat mudah apabila ia hanya perlu disiram tiga kali seminggu, jika terlebih air ia mungkin membuatkan pokok berkenaan mati manakala aktiviti meracun pula dilakukan sekiranya perlu sahaja,” katanya.

Che Osman yang menetap Indera Mahkota di sini berkata, setiap polibeg kini mempunyai 10 hingga 20 tunas atau pokok baru dan dijangka bertambah hingga 35 tunas apabila mencapai usia matang.

Katanya, setiap minggu dia dan isteri, Wan Zalina Wan Awang, 52, akan datang ke TKPM untuk melihat perkembangan pokok selain melakukan aktiviti merumput serta menyiram.

“Saya menjangkakan lebih 40 tan Halia Bentong berkualiti tinggi dapat dihasilkan apabila tanaman ini mencapai tempoh matang, biasanya ia dijual pada harga RM16 sekilogram.

“Saya akan menambah sekali ganda bilangan polibeg selepas ini kerana saya yakin projek ini mampu memberi pulangan menguntungkan walaupun terpaksa mengeluarkan modal besar di peringkat awal,” katanya yang mendapat sokongan Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan Pejabat Pertanian Daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:50 AM