GOLONGAN pesawah antara yang diberi perhatian dalam Bajet 2016.
GOLONGAN pesawah antara yang diberi perhatian dalam Bajet 2016.
GOLONGAN pesawah antara yang diberi perhatian dalam Bajet 2016.
GOLONGAN pesawah antara yang diberi perhatian dalam Bajet 2016.
Oleh Mohamad Hussin

Pelbagai pihak menyambut baik langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperuntukkan RM5.3 bilion dalam Bajet 2016 yang menunjukkan industri pertanian sangat penting dalam pembangunan negara, sekali gus meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

Antara yang terbabit ialah golongan pesawah apabila kerajaan bakal melaksanakan inisiatif Pemutuan Sebenar Padi dan menambah baik Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) mulai 1 Januari tahun depan. Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 155,000 pesawah.

Pemutuan Sebenar Padi ialah berasaskan penyeragaman harga padi pada paras RM1,200 setiap tan metrik. Sebagai pelengkap kepada inisiatif ini, kerajaan juga meningkatkan kadar SSHP dari RM248.10 kepada RM300 bagi setiap tan metrik.

Sekiranya seorang petani menghasilkan enam tan metrik padi yang menepati kualiti pemutuan 20 peratus pemotongan, mereka layak mendapat bayaran hasil jualan sebanyak RM5,760.

Bukan itu sahaja, petani berkenaan turut bakal menerima penambahan menerusi peningkatan kadar SSHP menjadikan jumlah pendapatannya meningkat daripada RM1,190 kepada RM1,440. Secara keseluruhannya bakal mendapat RM7,200 pada setiap kali musim penuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah/Perlis, Mohd Musa Kamis berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan memberikan inisiatif kepada petani dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau berkata, inisiatif itu dapat meningkatkan hasil padi sekali gus menambah pendapatan golongan berkenaan.

“Kami (petani) seronok menerima berita gembira ini. Selama ini persatuan berjuang untuk menaikkan harga padi. Keluhan kami mendapat perhatian Perdana Menteri yang benar-benar faham kesusahan dan jerih perih kami.

“Cuma kami mahu sistem pemotongan penggredan padi seboleh-bolehnya elakkan melebihi 20 kilogram setiap satu metrik tan kerana ia membebankan petani. Kadangkala mereka (orang tengah) membuat penggredan tidak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata, 27 PPK MADA Kedah/Perlis bertindak sebagai pusat kegiatan ekonomi dan sosial peladang, pusat transformasi teknologi tanaman padi, badan kooperatif pengurusan perniagaan ahli dan pusat khidmat bekalan input pertanian.

“PPK MADA juga memainkan peranan besar bagi membimbing dan menggembleng peladang meningkatkan pendapatan mereka kerana kebanyakan peladang dulu berpendapatan rendah.

“Membimbing dan menggembleng peladang dalam pengeluaran hasil pertanian untuk meningkatkan bahan makanan terutama padi supaya memenuhi keperluan negara,” katanya.

Sementara itu, kerajaan turut memperuntukkan RM190 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi tujuan Program Penurunan Harga, menambah 50 lagi Pasar Tani dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) yang baru.

40 peratus dari barang jualan ABR1M ialah barang-barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran yang harganya dianggarkan lima hingga 30 peratus lebih rendah dari harga pasaran.

Pengusaha buah-buahan, Johari Othman, 53, dari Pahang berkata, langkah itu dapat memartabatkan usahawan Bumiputera yang jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

“Sudah tiba masanya usahawan Melayu memajukan diri selepas kerajaan menambah 50 lagi pasar tani, sekali gus memberi peluang kepada petani menjual produk masing-masing untuk meningkatkan taraf hidup.

“Saya sudah 20 tahun berniaga buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan, cempedak, dokong dan manggis. Menerusi langkah ini, tentunya dapat memajukan perniagaan saya,” katanya.

Malah Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik peruntukan berjumlah RM320 juta bagi pembangunan Bandar Raya Getah (RubberCity) di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap, yang bakal memulakan proses pembangunan dari segi pengambilan tanah dan infrastruktur, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, projek seluas 607 hektar dijangka siap pada 2020 itu serta bakal dikenali sebagai Bandar Raya Getah pertama di negara ini yang menjadi pencetus kepada semua industri hiliran pembuatan getah.

“Banyak perlu dilakukan dan kita bakal mengadakan perbincangan dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi mendapatkan nasihat selanjutnya berhubung penyediaan prasarana terbaik termasuk soal penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana mereka adalah pakar dalam bidang ini.

“Menerusi kewujudan Bandar Raya Getah, ia dijangka mampu menyediakan hingga 20,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah amnya dan penduduk Padang Terap khususnya dengan 5,000 peluang pekerjaan dapat disediakan pada tahun pertama apabila projek itu beroperasi kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 10:21 AM