PROJEK babit 10 ahli PPK guna teknik fertigasi gantung boleh diaplikasikan tidak mengira musim.
PROJEK babit 10 ahli PPK guna teknik fertigasi gantung boleh diaplikasikan tidak mengira musim.
Paya Linda Yahya


BERKAT memanfaatkan tanah terbiar, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gua Musang, Kelantan berjaya menuai hasil sehingga tujuh tan timun bagi satu musim penanaman menggunakan teknik fertigasi gantung.

Projek yang membabitkan 10 ahli PPK itu bermula sejak tiga bulan lalu bagi memanfaatkan tanah di kawasan pejabat berkenaan selain turut menjadi satu daripada inisiatif untuk mengurangkan bebanan keperluan setempat bekalan sayur-sayuran.

Dengan memanfaatkan kira-kira 3.2 hektar (0.8 ekar) tanah, mereka menanam kira-kira 4,000 polibeg timun batang dan halia secara berkelompok di tanah terbiar sekitar kawasan pejabat PPK itu.

Menurut Pengurus Besar PPK Gua Musang, Mohd Zulharman Zakaria, projek yang menggunakan teknik fertigasi gantung yang boleh diaplikasikan tidak mengira musim.

Katanya projek terbabit turut mendapat suntikan modal daripada pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebanyak RM80,000 bagi keseluruhan kos penanaman dan infrastruktur.

"Kelebihan teknik fertigasi gantung ini ialah mudah untuk diselenggara terutama daripada segi sistem pembajaan dan pengairan yang lebih efisien serta penggunaan tenaga buruh juga boleh diminimumkan.

"Selain mendapat perolehan hasil yang lumayan, penanaman melalui sistem fertigasi ini juga boleh dilakukan sepanjang masa termasuk ketika cuaca hujan," katanya ketika ditemui di pekarangan pejabat PPK Gua Musang, baru-baru ini.

KAKITANGAN PPK Gua Musang membungkus timun untuk dijual kepada pemborong di Pejabat PPK Gua Musang.
KAKITANGAN PPK Gua Musang membungkus timun untuk dijual kepada pemborong di Pejabat PPK Gua Musang.

Katanya, hasil usaha itu diharap dapat menjadi contoh kepada ahli PPK lain supaya dapat memanfaatkan tanah terbiar.

"Malah teknik fertigasi gantung ini tidak memerlukan ruang tanah yang luas kerana ia berada dalam keadaan tergantung dan di bawahnya kami letakkan polibeg halia.

"Ia sangat menjimatkan ruang dan pengguna tanah juga adalah semaksimum mungkin.

"Diharap usaha ini menjadi contoh kepada petani dan ahli PPK sendiri dan pihak kami bersedia memberi khidmat nasihat bagi menggalakkan orang ramai untuk mengusahakan tanaman fertigasi gantung di kawasan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek PPK Gua Musang, Abu Mohsein Setapa berkata, sebanyak 2,000 polibeg timun batang sudah mengeluarkan hasil sehingga 100 kilogram sehari sejak dua bulan lalu.

ABU Mohsein menunjukkan hasil timun yang dikutipnya di pejabat PPK Gua Musang.
ABU Mohsein menunjukkan hasil timun yang dikutipnya di pejabat PPK Gua Musang.

Menurutnya projek itu bermula pada Disember lalu dan kini dalam proses mengutip hasil untuk dijual kepada pemborong dan peruncit.

"Penuaian timun batang ini sudah bermula sejak dua bulan lalu dan kami menjangkakan hasil tuaian keseluruhan timun batang sehingga tujuh tan bagi satu musim penanaman.

"Satu polibeg mampu menghasilkan tiga hingga empat kilogram buah timun sehari dan purata hasil dalam sehari kita mampu tuai antara 100 sehingga 500 kilogram.

"Projek ini mampu mengeluarkan buah timun yang berkualiti dan menerima permintaan tinggi malah harganya mencecah RM6 sekilogram di pasaran tempatan baru-baru ini," katanya.

Pada masa sama, Abu Mohsein berharap hasil penanaman itu dapat menampung permintaan terhadap timun di pasaran selain memanfaatkanpemborong dan peruncit.

"Insya-Allah projek itu akan diteruskan selepas habis musim penanamannya. Ini kerana segala infrastruktur sudah tersedia dan hanya memerlukan penanaman semula sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 6:20 AM