Operasi pembelajaran di Kolej Vokasional Muar masih berjalan seperti biasa meskipun 125 pelajarnya mengalami keracunan makanan. FOTO Adi Safri
Operasi pembelajaran di Kolej Vokasional Muar masih berjalan seperti biasa meskipun 125 pelajarnya mengalami keracunan makanan. FOTO Adi Safri
Ibrahim Isa


SERAMAI 125 pelajar Kolej Vokasional Muar, Johor keracunan makanan dipercayai selepas menghadiri majlis makan malam di kolej itu, malam kelmarin, yang menyaksikan tiga daripada mereka terpaksa dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, Pejabat Kesihatan Muar menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Maharani bahawa seramai 30 pelajar kolej berkenaan mengalami cirit birit, loya, kejang perut, pening, muntah dan demam pada 3.30 petang semalam.

Katanya, hasil siasatan awal, seramai 380 individu termasuk pelajar dan guru terdedah dengan kes keracunan makanan itu dan HPSF memaklumkan seramai 30 pelajar menerima rawatan pada 12 tengah malam tadi manakala 39 pelajar mendapatkan rawatan di kolej berkenaan.

“Baki 26 pelajar mendapatkan rawatan secara berperingkat sehingga hari ini.

"Siasatan awal mendapati pada malam kejadian, kolej berkenaan mengadakan majlis makan malam minggu akhir persekolahan dan makanan disediakan kantin kolej itu.

"Mereka dihidangkan kupang, udang dan ketam serta sambal dan buat masa ini, kami percaya punca keracunan disebabkan kupang yang dihidangkan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan di lokasi, pihaknya mendapati tiga pengendali makanan belum menjalani latihan penyediaan makanan dan pemeriksaan rekod mendapati kali terakhir pemeriksaan dapur dilakukan pada 8 November lalu dengan rating 90.8 peratus.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan semalam, rating pemeriksaan sebanyak 89.7 peratus diberikan.

"Kami turut mengambil beberapa sampel termasuk sampel makanan (tiga), air (tiga), contoh tangan pengendali makanan (tujuh) dan peralatan (lima).

“Semua sampel dihantar ke makmal kesihatan di Johor Bahru untuk menjalani analisa.

"Berikutan itu, arahan penutupan selama tiga hari dikeluarkan bermula semalam hingga esok mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit sementara kami menjalankan siasatan.

"Siasatan masih dijalankan dan saya difahamkan masih ada pelajar yang mengadu sakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 3:20 PM