FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang meneliti tindakan perundangan ke atas peniaga yang terbabit dalam kes keracunan makanan di kawasan rawat dan rehat (R&R) Perasing, Kemaman, Disember lalu.

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata, ia merujuk kepada isu yang tular di media sosial berkaitan kes keracunan makanan yang didakwa berpunca daripada makanan di R&R Perasing, Kemaman.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman sudah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar termasuk mengambil sampel makanan.

"Keputusan makmal menunjukkan wujud pelanggaran di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985. Tindakan perundangan sedang diambil ke atas peniaga yang terbabit.

"JKNT ingin menasihati pengusaha dan pengendali makanan supaya sentiasa menitikberat aspek kebersihan dan keselamatan makanan dan minuman yang dijual serta memastikan makanan disediakan adalah bersih serta selamat," katanya.

Katanya, tindakan perundangan akan diambil terhadap pengusaha dan pengendali makanan yang cuai dalam penyediaan makanan sehingga menyebabkan makanan yang dijual kepada orang ramai tercemar hingga memudaratkan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 2:59 PM