GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


MAYAT lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui terapung di tepi Sungai Mat Dulang, Kampung Mengkasar, Pekan, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Yusof berkata, mangsa dikenali Mustaqim Haasan, 42, dari Kampung Ketapang Tengah ditemui pada 11.30 pagi.

Katanya, identiti dikenal pasti berdasarkan pengecaman seorang ahli keluarga mangsa.

"Polis menerima laporan berhubung penemuan mayat terapung tanpa pakaian di sungai berkenaan.

"Mayat dibawa naik dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh 36 jam sebelum mayatnya ditemui dan puncanya akibat lemas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Razli berkata, kematian mangsa disahkan tidak mempunyai unsur jenayah.

"Mayat sudah diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 12:04 PM