Oleh Helmy Abd Rahman dan Nazdy Harun

Hulu Terengganu: Lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika sedang menahan pukat di Jeram Lubuk Besar, Kampung Belukar, Ajil, Hulu Terengganu, 3 petang tadi.

Fairul Azman Azmi, 29, dari Felda Mengkawang, dekat sini, mulanya tergelincir ketika berdiri di atas batu untuk menangkap ikan di kawasan itu sebelum dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, mangsa sebelum itu bertolak ke kawasan rekreasi itu kira-kira 11 pagi, bersama empat rakannya dan tiba di situ sekitar dua jam kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir, ketika dihubungi berkata, mangsa ditemui pasukan penyelamat tersangkut di celah batu tidak jauh dari tempatnya jatuh, pada 5.45 petang.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan doktor bertugas mengesahkan punca kematian akibat lemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 10:44 PM