Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seramai 6,547 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi fasa satu A setakat 5 petang hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaik tamat fasa satu A itu, suntikan vaksin fasa satu B pula bermula hari ini secara besar-besaran membabitkan baki 36,029 warga pertahanan di 58 Pusat Vaksin ATM seluruh negara.

"Fasa kedua ini dijangka berakhir pada 30 April depan dan selepas itu baki warga pertahanan yang akan menerima vaksin seramai 42,120 orang.

"Ini membabitkan warga pertahanan iaitu anggota ATM berpakaian seragam dan orang awam," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, semua warga pertahanan menerima baik suntikan vaksin dan tiada penolakan oleh mereka.

"Semua memberikan keyakinan kepada tindakan dilakukan kerajaan dan sukarela untuk divaksin," katanya.

JURURAWAT 94 Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Lans Koperal Fazira Sophia (kiri) memberi suntikan vaksin jenis Pfizer BioNtech kepada Sarjan Hanafie (kanan) dari pasukan 3 Rejimen Semboyan Diraja pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi anggota dan pegawai tentera barisan hadapan negeri Melaka di Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera, Kem Terendak. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Hostel Centennial, Kampung Acheh, Manjung, Perak.

"Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di Hostel Centennial yang dijadualkan tamat esok.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 1,551 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 463 kes positif dilaporkan.

"KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di kampung itu bermula esok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 8:48 PM