HOSPITAL Kota Sentosa. FOTO arkib NSTP
HOSPITAL Kota Sentosa. FOTO arkib NSTP
Melvin Joni


Kuching: Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian menafikan kes jangkitan Covid-19 yang dikesan di Hospital Sentosa adalah daripada varian Delta.

Beliau berkata, pihaknya belum menerima pengesahan daripada Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengenai perkara itu.

"Tidak betul, kita tidak tahu lagi sebab untuk membuat ujian (pengesahan varian) itu, IHCM Unimas memerlukan tiga hingga empat minggu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menyatakan demikian apabila diminta mengulas mengenai dakwaan yang tular di media sosial bahawa kes jangkitan Covid-19 dikesan di Hospital Sentosa adalah daripada varian Delta.

Sementara itu, Dr Mohamed berkata, Hospital Sentosa kini diisytiharkan sebagai kluster Covid-19 apabila setakat jam 6 petang semalam, terdapat seramai 56 kes positif dikesan membabitkan 24 petugas kesihatan, 28 orang pesakit, seorang pekerja syarikat konsesi dan tiga orang kontak serumah.

Katanya, kluster ini mula dikesan pada 12 Julai lalu apabila seorang petugas kesihatan di hospital terbabit didapati positif Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan pengurusan Hospital Sentosa sudah bertindak segera untuk mengawal dan mengekang perebakan jangkitan Covid-19 di fasiliti berkenaan dengan melakukan langkah kawalan.

Katanya, langkah kawalan yang dilaksanakan adalah mengenal pasti kontak rapat di tempat kerja, rumah dan sosial serta melakukan saringan calitan tekak terhadap mereka.

Menurutnya, tindakan merawat, isolasi dan kuarantin dijalankan mengikut kategori pesakit dan kontak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 8:00 PM