KOMPLEKS Mahkamah Kota Kinabalu. FOTO Arkib NSTP
KOMPLEKS Mahkamah Kota Kinabalu. FOTO Arkib NSTP
Yun Mikail


SABAH bakal menjadi tumpuan hari ini berikutan penentuan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan sama ada keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah , Tun Juhar Mahiruddin, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu boleh diadili di mahkamah atau sebaliknya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim dijangka membuat keputusan mengenai permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman pembubaran DUN terbabit.

Shim pada 17 Ogos lalu menetapkan 21 Ogos (hari ini) bagi membuat keputusan selepas isu berkenaan dibawa ke mahkamah pada 7 Ogos oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam kepada bekas Ketua Menteri Sabah yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman bersama 32 ADUN yang lain.

Tun Juhar dinamakan sebagai responden pertama, Mohd Shafie sebagai responden kedua, SPR (responden ketiga), manakala Kerajaan Sabah (responden keempat).

Terdahulu, kesemua 33 ADUN berkenaan termasuklah Musa pada 29 Julai lalu mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Sementara itu, tinjauan sekitar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu setakat 8 pagi mendapati keadaan masih terkawal selain tiada kelihatan pengikut mana-mana pihak.

Bagaimanapun, pihak polis sudah mula memperketatkan kawalan keselamatan di jalan serta pintu keluar masuk utama mahkamah seawal 7 pagi bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku.

Orang awam juga diarahkan berpatah balik sekiranya tidak mempunyai urusan penting.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 8:26 AM