BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu mula mendengar untuk menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 30 Julai lalu, boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim akan menentukan perkara itu berikutan terdapat permohonan semakan kehakiman mengenai pembubaran Dun Sabah.

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) membuat permohonan mendapat kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dun.

Mereka menamakan Tun Juhar sebagai responden pertama, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden ketiga dan kerajaan Sabah, responden keempat.

ANGGOTA polis meningkatkan melakukan sekatan jalan raya ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah.
ANGGOTA polis meningkatkan melakukan sekatan jalan raya ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah.

Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh yang mewakili Yang Dipertua Negeri, Ketua Menteri dan kerajaan negeri tiba di mahkamah pada 8.30 pagi, disusuli 10 minit Tengku Fuad Tengku Ahmad, peguam yang mewakili Musa dan 32 Adun.

Tinjauan Bernama menyaksikan anggota polis mengawal ketat kompleks mahkamah dalam memastikan aspek keselamatan serta langkah pencegahan penularan Covid-19 antaranya pemeriksaan suhu badan, pendaftaran pelawat dan penjarakan fizikal dilakukan.

Mohd Shafie pada 30 Julai lalu mengumumkan pembubaran Dun Sabah berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari selepas mendapat perkenan Tun Juhar.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 10:56 AM