SUV dinaiki enam sekeluarga hangus dijilat api. FOTO ihsan Norazlinda Sapri
SUV dinaiki enam sekeluarga hangus dijilat api. FOTO ihsan Norazlinda Sapri
Redzuan Muharam


HANYA seminit memisahkan enam beranak daripada ajal apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbakar di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik, Perak, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, enam beranak terbabit dilapor sempat keluar daripada kenderaan berkenaan sebelum ia musnah dijilat api.

Menceritakan semula detik cemas itu, Norazlinda Sapri, 40, berkata, ketika kejadian dia dan suami bersama empat anak mereka berusia 16 bulan hingga 14 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Lunas, Kulim dari Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan.

Katanya, kereta dipandu suaminya, Khairol Masri Md Noor, 40, dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan tanda awal kerosakan sebaliknya meragam sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum mereka berhenti di lorong kecemasan.

"Kami bertolak dari kampung jam 12 tengah hari dan hanya berhenti di stesen minyak Batu Melintang, Jeli untuk ke tandas sebelum meneruskan perjalanan.

"Lima kilometer (KM) sebelum memasuki terowong iaitu tidak jauh dari Puncak Titiwangsa, kereta rasa berat jadi suami teruskan memandu sebelum berhenti di lorong kecemasan.

"Suami keluar memeriksa enjin manakala saya dan anak-anak menunggu di dalam kereta," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Norazlinda berkata, dia mengajak semua anaknya keluar daripada kenderaan selepas melihatkan asap keluar pada bahagian enjin.

"Kira-kira satu minit kemudian, kami lihat bahagian enjin dijilat api dan kereta terbakar sepenuhnya. Memang sedih tetapi saya dan suami bersyukur kerana kami sekeluarga terutama anak-anak selamat.

"Ramai pengguna jalan raya prihatin dan menawarkan bantuan. Seorangnya lelaki dikenali Din kemudian menumpangkan kami dari tempat kejadian ke balai polis dan balai bomba serta menghantar sehingga ke rumah," katanya yang bertugas sebagai guru subjek Bahasa lnggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas, Kedah.

Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai ujian Allah untuk mereka sekeluarga.

"Saya beli kereta itu pada 2014 dan ia adalah kenderaan terpakai. Terima kasih kepada semua yang membantu dan musibah ini membuatkan saya sedar betapa prihatinnya rakyat Malaysia kerana ramai mendoakan walaupun tidak mengenali saya sekeluarga," katanya.

Kisah Norazlinda mendapat perhatian warganet selepas wanita itu berkongsi pengalamannya di Facebook, semalam.

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian Norazlinda mendapat lebih 1,300 tanda prihatin dan suka daripada warganet dengan rata-ratanya mendoakannya supaya tabah dengan ujian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 7:34 PM