ZURAIDA dan Mohamed Azmin antara bekas wakil rakyat PKR yang dikenakan tuntutan saman RM10 juta. FOTO Arkib NSTP.
ZURAIDA dan Mohamed Azmin antara bekas wakil rakyat PKR yang dikenakan tuntutan saman RM10 juta. FOTO Arkib NSTP.
Rafidah Mat Ruzki


TUNTUTAN RM10 juta oleh PKR daripada setiap wakil rakyatnya yang keluar parti bukan satu perjanjian yang mengikat individu terbabit, kata Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Sebaliknya, beliau merasakan tuntutan itu tidak akan berhasil malah sehingga kini tidak menerima sebarang notis daripada bekas partinya itu.

"Setahu kita perkara itu tidak mengikat. Kita akan serahkan kepada peguam untuk menguruskan dan kita yakin benda (tuntutan) ini tidak akan berhasil.

"(Saya) belum lagi terima (notis tuntutan). Cakap je lebih," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Korban Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) 2020 di Putrajaya, hari ini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, isu itu juga tidak perlu lagi dibangkitkan kerana sudah tidak relevan.

Katanya, adalah lebih baik memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat.

PKR sebelum ini dilapor menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta seorang terhadap 20 wakil rakyat keluar parti, termasuk daripada bekas Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida.

Ganti rugi itu dikatakan dipersetujui kumpulan wakil rakyat terbabit jika keluar parti dan menggunakan kerusi mereka bagi kepentingan sendiri dan berlawanan kepentingan PKR.

Selain Azmin dan Zuraida, MP dan ADUN yang dituntut ganti rugi adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat).

Turut berdepan tuntutan itu ialah Ali Biju (Saratok); Jonathan Yasin (Ranau); Dr Chong Fat Full (Pemanis); Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); Baru Bian (Selangau); Azman Nasrudin (Lunas); Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam); Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 10:45 AM