ZURAIDA Kamaruddin. FOTO Arkib NSTP
ZURAIDA Kamaruddin. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Naib Presiden PKR Datuk Zuraida Kamaruddin mengemukakan permohonan untuk membatalkan perintah bayaran RM10 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.

Menerusi notis rayuan difailkan firma guaman, Tetuan Zharif Nizamuddin, kelmarin, Zuraida menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir yang membenarkan tuntutan RM10 juta daripada PKR pada 23 Jun lalu.

Dalam keputusan itu, Akhtar turut memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada parti itu.

"Saya merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan terbabit," katanya dalam satu dokumen yang dilihat media.

Akhtar dilaporkan membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.

PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.

Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam perbicaraan pada 29 Mac lalu,Saifuddin memberi keterangan, Zuraida memenangi kerusi Ampang kerana bertanding di bawah bendera parti dan bukannya kekuatan dirinya sendiri.

Pada 30 Mac pula, Zuraida memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu kerana didakwa dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding.

Zuraida bersama 10 ahli parlimen lain diketuai Datuk Seri Azmin Ali meninggalkan PKR pada Feb 2020 untuk menyokong Bersatu, Umno-BN dan GPS dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kejadian yang digelar sebagai Langkah Sheraton itu membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan melalui PRU ke-14.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 12:26 PM