Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN Perak tiada masalah untuk menjadikan hotel di negeri ini sebagai pusat kuarantin Covid-19 bagi mereka yang baru pulang dari luar negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya sedang mencari jalan bagi memastikan pusat kuarantin dibuka semula sama ada di hotel atau di kemudahan pusat kuarantin yang ditetapkan sebelum ini.

"Sangat penting untuk kita mengadakan pusat kuarantin ini kerana berlakunya mereka yang perlu dikuarantin ini tidak mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang masih keluar rumah dan sebagainya.

"Tentu ada dalam kalangan mereka yang perlu dikuarantinkan ini mahukan kemudahan yang lebih baik, jadi mungkin kita boleh berbincang dengan pihak hotel terutama sekali hotel yang terpaksa ditutup akibat perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya selepas melancarkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Kibar Jalur Gemilang dan melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2020 di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, melalui cara itu, hotel berkenaan dapat dibuka semula dengan bayaran yang dikenakan kepada mereka yang dikuarantinkan.

"(Bayaran) kepada mereka yang mampu, tetapi kepada mereka yang tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan mungkin kita akan mencari jalan untuk menggunakan kemudahan kerajaan, tetapi perkara ini masih belum kita putuskan secara rasmi," katanya.

Beliau berkata, pembukaan pusat kuarantin berkenaan akan dibuka secepat mungkin dalam masa terdekat.

"Kita percaya bahawa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri Perak akan memulakan usaha untuk berbincang dengan pihak hotel dan juga sama ada untuk kita perlu buka semula kemudahan kerajaan untuk kuarantin," katanya.

Sebelum ini NSTP melaporkan Kebenaran untuk menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin Covid-19 bergantung pada kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dilaporkan berkata, kebenaran itu dapat membantu pengusaha hotel meningkatkan kadar penghunian susulan kekurangan kedatangan pelancong.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kanan) mengibarkan jalur gemilang di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak Tahun 2020 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kanan) mengibarkan jalur gemilang di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak Tahun 2020 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 4:34 PM