Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedia melepaskan jawatan Menteri Besar Perak sekiranya ada lantikan baharu dalam kalangan ahli Dewan yang diperkenankan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, ketika ini beliau masih berfungsi sebagai Menteri Besar seperti biasa sehingga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat membuktikan mempunyai mandat majoriti dewan.

"Apabila Sultan Perak yakin perkenan mandat (sokongan) yang seseorang itu terima, tentunya saya akan meletakkan jawatan dan benarkan transisi berjalan baik.

"Saya pasti ia akan dimaklumkan perkara itu (perkenan sultan berhubung perletakan jawatan) dan pada ketika itu tanggungjawab kepada negeri untuk mengambil tindakan seharusnya iaitu untuk meletak jawatan," katanya selepas menyerahkan replika cek RM100,000 kepada setiap sembilan sekolah persendirian Cina (SUWA) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pagi hari ini.

Beliau turut mengulas apabila ditanya berkenaan status dua Exco Bersatu iaitu Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Foto Sharul Hafiz Zam
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Foto Sharul Hafiz Zam

"Dua Exco itu akan dibincangkan berlandaskan kehendak dan keperluan yang saya sebutkan tadi (mandat dan sokongan untuk tubuhkan kerajaan baharu)," katanya.

Ahmad Faizal turut mengulas apabila ditanya mengenai pihak pembangkang yang menggesa beliau segera meletakkan jawatan.

"Bagi saya selesaikan dahulu...aktiviti operasi kerajaan perlu diteruskan, jadi saya nasihat pada pembangkang, you've got what u wanted already (awak dah dapat apa nak), jadi tak payahlah sampai tahap hendak hentikan pentadbiran kerajaan negeri untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

"Hari ini, Perak masih beberapa kawasan lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mereka bermasalah dan kerajaan negeri mesti ada tanggungjawab untuk menyelesaikan dan perlu ada 'kepala' setakat ini untuk membantu," katanya.

Berita berkaitan

  • 3 pemimpin PH tiba di Istana Kinta
  • Kerajaan PN Perak mesti dikekalkan - Umno
  • Ahmad Faizal berharap PN Perak tidak berpecah-belah
  • Saarani, Shahrul Zaman, Abdul Aziz disebut-sebut calon MB Perak?
  • MB Perak gagal dapat sokongan majoriti
  • Usul undi percaya bukti mendaulatkan sistem demokrasi
  • PAS tidak sertai pembentukan kerajaan Perak baharu
  • 'Nampak tenang, dalam jiwa berkocak'
  • Ahmad Faizal tak akan usul bubar DUN
  • Ahmad Faizal mengadap Sultan petang ini
  • Ahmad Faizal jamin peralihan kerajaan Perak berhemah
  • Ahli Bersatu Perak diminta bertenang: Ahmad Faizal
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 12:27 PM