Balqis Jazimah Zahari


SEBAGAI inisiatif kerajaan negeri melalui Tourism Perak untuk membantu memulihkan sektor pelancongan domestik, Perak menawarkan Travel Baucer #TravelPerakLah kepada pelancong.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata baucer istimewa itu hanya terhad kepada 1,500 keping sahaja dan terbuka kepada semua pelancong dalam negara.

Menurutnya, ia terbahagi kepada dua baucer bernilai RM50 dan RM30.

"RM50 bagi penginapan di hotel terpilih di dalam negeri dan baucer bernilai RM30 bagi produk pelancongan bernilai terpilih di sekitar Perak.

"Ia membabitkan pengusaha hotel dan produk pelancongan terpilih di dalam negeri dan sah digunakan bermula 1 Julai 2020 sehingga 30 November," katanya selepas melancarkan Travel Baucer #TravelPerakLah Pasca Covid-19 di Kellie's Castle di Batu Gajah, hari ini.

Ahmad Faizal berkata sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula, Perak sudah menerima sebanyak 2,695 tempahan bilik hotel yang membabitkan 58 pengusaha.

"Jumlah tempahan bilik hotel berkenaan membabitkan tiga kawasan di Ipoh, Taiping dan Pangkor. Selain itu, beberapa hotel bajet termasuk rumah inap yang berada di negeri ini juga sudah mula beroperasi dan bersedia menerima tempahan.

MUHAMMAD Nabil ketika menghantar kerja sekolah kepada muridnya. FOTO ihsan Muhammad Nabil Fikri
MUHAMMAD Nabil ketika menghantar kerja sekolah kepada muridnya. FOTO ihsan Muhammad Nabil Fikri

"Kita perlu mempertingkatkan lagi jumlah ini untuk menjamin pekerjaan dalam industri pelancongan ini. Ia menggalakkan (pertambahan tempahan), tetapi kita perlu segera mempertingkatkan kerana jika tidak kita akan mempunyai masalah bagi pengusaha hotel mengekalkan pekerja dan menjalankan operasi," katanya

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata bagi baucer berjumlah RM50 untuk premis penginapan termasuk rumah inap, pelancong perlu menginap sekurang-kurangnya 2 hari 1 malam.

"Syarat lain pula ialah nilai maksimum perbelanjaan adalah sebanyak RM100 dan baucer RM30 pula adalah bagi destinasi produk pelancongan terpilih sekitar negeri Perak

"Sebanyak 25 premis penginapan termasuk rumah inap di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Kementerian Seni dan Budaya serta sepuluh produk pelancongan di negeri ini dikenalpasti untuk sama turut serta dalam inisiatif ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 7:57 PM