Maiamalina Mohamed Amin


PERTANIAN bukan bidang 3D seperti dianggap belia, tetapi sektor yang mengkayakan ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Katanya, 3D merujuk kepada difficult (sukar), dirty (kotor) dan dangerous (bahaya) menjadi tanggapan yang menjauhkan belia daripada bidang pertanian.

"Banyak yang kerajaan lakukan, bantu untuk menggalakkan belia terbabit pertanian, cuma tinggal pertanian ini disebut mereka sebagai 3D.

"Ini cabarannya yang perlu diubah, corak pemikiran mereka sendiri bahawa pertanian ini memberi sumber kekayaan kepada negara," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah menjawab soalan tambahan Datuk Seri SaifuddinNasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai minat belia terhadap pertanian dan membangunkan tanah terbiar.

Menjawab lanjut katanya, kerajaan sentiasa sedia membantu sebaik mungkin belia untuk membangunkan tanah terbiar namun, ia tertakluk pentadbiran kerajaan negeri.

"Isu tanah ini isu negeri, tapi kementerian bersedia membantu sebaik mungkin," katanya yang memberitahu keseriusan kerajaan menggalakkan keterlibatan belia dalam pertanian dan industri pembuatan makanan bermula dengan program Agropreneur Muda yang diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

Program lain termasuk Mobiliti Tenaga Kerja dalam Sektor Agromakanan @ MyFutureAgro dengan peruntukan RM40 juta diluluskan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi 2020 hingga 2021.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 2:34 PM