Amir Abd Hamid


PELAKSANAAN projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah usaha kerajaan dalam memastikan sistem hubungan rel di pantai timur setanding di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengakui hakikat jaringan kereta api atau rel di pantai barat jauh lebih baik daripada pantai timur.

"Sebab itu, ECRL itu perlu dan dalam proses nak memuktamadkan. Saya harap semua kerajaan termasuk Selangor dan negeri-negeri yang berkaitan sama-sama mencari satu formula.

"Ini adalah kata orang sebagai game changer untuk penduduk di pantai timur datang ke sini.

"Bayangkan kalau tren ECRL kita dengan kelajuan lebih 160 kilometer sejam, ia boleh sampai ke Kuala Lumpur dalam tempoh empat hingga lima jam," katanya pada waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) menyatakan realiti jaringan rel di pantai barat lebih baik dari pantai timur dan apa impian Wee bagi menambah baik keadaan itu.

Wee berkata, kerajaan membuka koridor ekonomi untuk pantai timur dengan menghubungkan tren penumpang dan kargo dari pantai barat.

"Kita memikirkan soal negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Kerajaan kita akan teruskan secara bermusyawarah dengan semua negeri.

"YB (Yang Berhormat) kata tadi, apa impian saya. Kita nak melengkapkan sistem jaringan kereta api dan bukan setakat itu, sebab itu saya kata ECRL connection mesti tak boleh buat secara silo. Ia kena dihubungkan kepada sistem pengangkutan awam yang ada," katanya.

Beliau bertegas bahawa kerajaan komited menjayakan agenda negara sekali gus menjamin kemajuan di pantai timur tidak ketinggalan termasuk sistem jaringan pengangkutan awam seperti hubungan rel.

DATUK Seri Dr Wee Ka Siong (gambar arkib). FOTO Bernama
DATUK Seri Dr Wee Ka Siong (gambar arkib). FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 11:12 AM