Mohd Effendy Abdul Ghani
Mohd Effendy Abdul Ghani
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Gaji bersesuaian terutama dalam sektor 3D atau industri yang merujuk kepada difficult (sukar), dirty (kotor) dan dangerous (bahaya) disaran dikaji semula bagi menarik minat rakyat tempatan untuk menceburi pekerjaan itu.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, beliau melihat pekerja asing yang bakal masuk ke negara ini akan berkerja dalam industri berkenaan.

Justeru, katanya, sektor berkenaan memerlukan skim gaji yang kompetitif bagi menarik minat pekerja tempatan berkerja dalam industri itu.

"Inilah perkara yang sebenarnya kerajaan perlu perhalusi, bagaimana mahu menarik minat pekerja tempatan untuk 'bekerjasama' dalam industri ini.

"Saya lihat juga kecenderungan majikan untuk mengambil pekerja asing ada kemungkinan sebenarnya lebih kepada kadar harga buruh yang rendah dan boleh berkerja dalam tempoh panjang," katanya dihubungi hari ini.

Katanya, walaupun keperluan mengambil pekerja asing itu ada tetapi keutamaan tetap perlu diberikan dulu kepada pekerja tempatan.

"Kalau mahu kata pekerja tempatan tidak berminat berkerja, setakat ini saya lihat kadar pengangguran menurun menunjukkan mereka mahu berkerja.

"Kita perlu gaji yang kompetitif yang menarik minat pekerja tempatan untuk berkerja. Pekerja tempatan berbeza dengan pekerja asing kerana mereka ini mempunyai komitmen dalam negara, tidak seperti pekerja asing," katanya.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Seri Halim Ishak pula berkata, tiga sektor iaitu perladangan, pembinaan dan 3D dilihat kurang diminati majoriti rakyat tempatan.

Katanya, usaha kerajaan dalam menarik minat warga tempatan untuk menceburi tiga sektor ini tidak gagal, namun mungkin di sebabkan oleh aspek gaji dan imbuhan yang kurang menarik.

"Pekerjaan berat dengan gaji dan faedah yang tidak bersesuaian dengan kos sara hidup tidak mungkin boleh diterima pekerja terutama yang berkeluarga.

"Ini tidak boleh dibandingkan dengan keadaan sehelai sepinggang pekerja asing," katanya.

Menurutnya, pihaknya menyarankan supaya sektor perkhidmatan dan perkilangan diletakkan ratio bilangan pekerja yang bersesuaian oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan mementingkan rakyat negara ini.

"Apa jua dasar membabitkan tenaga sumber manusia, JTK perlu mementingkan tenaga kerja profesional dan vokasional dalam kalangan rakyat Malaysia dan barulah selebihnya tenaga kerja warga asing.

"Tidak dilupakan juga rakyat Malaysia dalam kalangan komuniti OKU juga masih ramai yang boleh bekerja," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, 500,000 pekerja asing akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dilaporkan berkata, kemasukan pekerja asing itu khusus bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 4:44 PM