Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kira-kira 2.9 juta pekerja di negara ini dapat diselamatkan daripada diberhentikan kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kerajaan juga menyelamatkan lebih 300,000 syarikat daripada gulung tikar.

Beliau berkata, kerajaan sudah mengeluarkan peruntukan mencecah RM18 bilion menerusi Program Subsidi Upah (PSU) bagi menjamin pekerjaan dapat dikekalkan.

"Sebagai menteri, kalau ditanya apa pencapaian saya, saya sudah menyelamatkan dan membela 2.9 juta pekerja dengan sumbangan (kerajaan) lebih RM18 bilion.

"Negara dapat selamatkan nasib mereka dan lebih 300,000 syarikat daripada gulung tikar," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling), beliau berkata, sehingga Julai lalu, terdapat peningkatan bilangan penganggur seramai 9,500 orang menjadikan jumlah penganggur kepada 778,200 orang.

Katanya, dalam usaha memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan, kerajaan sudah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) dengan sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

MENTERI Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan. FOTO Bernama
MENTERI Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan. FOTO Bernama

"Di bawah MPN, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dilantik sebagai pengerusi bersama bagi Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan.

"Sehingga 31 Ogos lalu, Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan sudah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 98 peratus iaitu 359,677 daripada sasaran 367,500 bagi penempatan pekerjaan dan penciptaan pendapatan" katanya.

Beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut memperluaskan elaun mencari pekerjaan kepada bukan pencarum terutamanya graduan baru, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal dengan elaun sekurang-kurangnya RM300 akan diterima apabila mereka mendaftar di bawah platform MyFutureJobs.

"Dengan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta, skop insentif turut diperluaskan oleh Perkeso meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig yang memanfaatkan 60,000 pekerja dan majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan Perkeso," katanya.

Selain itu, katanya, sejumlah RM125 juta turut diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif 'Place and Train' di bawah Program Janapreneur Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

"Inisiatif ini akan membuka peluang kepada 30,000 orang terutama belia lepasan sekolah dan graduan untuk mengikuti program latihan dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 11:43 AM