Maiamalina Mohamed Amin


SEBANYAK 34 permohonan menubuhkan taska di pelbagai kementerian dan pejabat setiausaha kerajaan negeri diluluskan kerajaan membabitkan nilai RM5.5 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kelulusan itu bagi tempoh permohonan yang berakhir 30 Jun lalu.

Bagaimanapun katanya, 11 lagi permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat.

"Antara yang diluluskan adalah 16 taska baharu di Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan (10), Kementerian Pengajian Tinggi (dua) dan Kementerian Belia dan Sukan (satu), Jabatan Perdana Menteri (satu), kerajaan negeri Terengganu (dua), kerajaan negeri Pahang (satu) dan Kelantan (satu)," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) mengenai butiran geran penubuhan taska di tempat kerja sektor awam sebanyak RM30 juta menerusi Belanjawan 2020.

Mengenai taska bagi membantu petugas barisan hadapan di hospital, katanya, 38 taska di hospital seluruh negara beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memanfaatkan 699 anak petugas berkenaan.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 2:27 PM