Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Kehilangan habitat hidupan liar selain pembangunan, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes gangguan hidupan liar di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa MajliS Mesyuarat Kerajaan Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Bon Poh berkata, sebanyak 4,423 aduan diterima berkaitan gangguan itu bagi 2019 hingga April lalu.

Katanya, aduan tertinggi membabitkan gangguan kera iaitu 2,830, diikuti babi hutan (1,061) manakala spesies lain seperti musang, biawak, buaya dan lotong yang merangkumi 532 aduan.

"Faktor lain menyumbang, pembuangan sampah tidak teratur dan pembangunan atau tebus guna tanah yang tidak mengambil kira aspek hidupan liar, tanah terbiar serta sikap masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Phee berkata, dalam tempoh sama, tindakan tangkap hapus telah dilaksana membabitkan 5,649 kera dan 580 babi hutan, manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Pulau Pinang sedang melaksanakan Program Bersepadu bagi Pengurusan Konflik Manusia-Kera.

Katanya, program itu bagi menangani gangguan hidupan liar membabitkan 18 lokasi tumpuan dan kerajaan negeri turut menambah bilangan senjata api untuk kegunaan kakitangan di lapangan pada 2020 dan 2021.

Dalam pada itu, katanya, kes pembalakan haram di Pulau Pinang adalah rendah dan terkawal sejak 2010, dengan hanya satu kes direkod pada 2016 membabitkan tindakan mengambil kayu bakau di Hutan Simpan Balik Pulau.

"Keseluruhannya, 14 kes kesalahan hutan yang direkodkan pada 2010 hingga April 2022, membabitkan penerokaan haram, dikesan dilakukan pemilik tanah yang bersempadan dengan Hutan Simpanan Kekal untuk tujuan pertanian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 1:38 PM