Zuhainy Zulkiffli


BANGLO kosong atau rumah agam yang dikenali sebagai Rumah 99 Pintu di Jalan Byram, Nibong Tebal, terbakar semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.45 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, ketika tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan struktur kayu alang dan lantai rumah berkenaan.

"Terdapat halangan semasa kerja memadamkan api kerana sukar bagi mendapatkan sumber air.

"Bomba kemudian berjaya mendapatkan bantuan lori tangki air tidak lama kemudian," katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, anggaran kemusnahan membabitkan kira-kira 70 peratus.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya lagi.

Rumah agam yang dipercayai dibina pada awal kurun ke-19 itu turut dikatakan mempunyai 99 pintu.

Dikelilingi ladang kelapa sawit, rumah berkenaan turut dikaitkan dengan aktiviti paranormal dan mistik.

ANGGOTA bomba ketika memadamkan kebakaran rumah agam 99 Pintu di Jalan Byram, Nibong Tebal, semalam. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba ketika memadamkan kebakaran rumah agam 99 Pintu di Jalan Byram, Nibong Tebal, semalam. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 10:59 AM