BERNAMA

Nibong Tebal: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadam 35 peratus daripada 4.05 hektar kebakaran melibatkan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini, yang terbakar sejak Rabu lalu.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang Mohd Hafiz Hafizan Timaradin berkata, operasi memadamkan kebakaran itu menunjukkan perkembangan positif hari ini selepas pihaknya menjalankan kaedah pengeboman air atau pemadaman dari udara.

"Berdasarkan pemantauan hari ini selepas 16 pusingan pengeboman air dan beberapa kaedah lain, kami mendapati 35 peratus di kawasan terbakar itu berjaya dipadamkan dan tiada kesan api yang boleh dilihat di situ manakala baki masih terbakar turut melibatkan kebakaran di bahagian dalam tanah... macam sekam api sedang terbakar di situ (dalam tanah).

"Setakat ini, kami juga mendapati tiada kemerebakan api di kawasan baharu di tapak pelupusan sampah seluas 16.2 hektar itu dan kaedah pengeboman air akan diteruskan esok supaya kebakaran dapat dipadamkan dalam tempoh segera (yang dijangka dua minggu)," katanya pada sidang akhbar Operasi Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini hari ini.

BOMBA menggunakan kaedah bom air bagi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung di sini hari ini. FOTO Bernama
BOMBA menggunakan kaedah bom air bagi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung di sini hari ini. FOTO Bernama

Mengulas lanjut, Mohd Hafiz Hafizan berkata, pihak bomba bersama beberapa agensi lain termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah mengambil langkah-langkah serta merangka beberapa kaedah lain lagi termasuk fire break bagi mempercepatkan operasi pemadaman itu.

Katanya, selain air, pihaknya turut menggunakan tanah untuk menimbuskan kawasan kebakaran bagi memadamkan api dan dengan bantuan JAS untuk memantau cerapan haba titik panas di situ supaya dapat mengesan api dalam tanah lebih cepat.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Lee Chong Chern berkata, tapak pelupusan sampah itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20.

Beliau berkata, susulan pengisytiharan itu, orang ramai tidak lagi dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan.

ANGGOTA polis memakai topeng hidung semasa membantu mengawal kawasan tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung. FOTO Bernama
ANGGOTA polis memakai topeng hidung semasa membantu mengawal kawasan tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung. FOTO Bernama

"Asap yang keluar dari kebakaran di tapak pelupusan sampah mencemari kawasan sekitar dan kita mula menjalankan operasi bencana sejak Isnin lalu.

"Kami sudah mengisytiharkan kawasan pelupusan sampah itu sebagai kawasan bencana Tahap Satu. Hanya mereka yang berkenaan sahaja dibenarkan masuk ke kawasan bencana. Bagi lain, mereka tidak dibenarkan masuk demi keselamatan dan kesihatan mereka sendiri," katanya.

Lee berkata, polis meningkatkan pemantauan, pemeriksaan dan rondaan di 76 buah rumah penduduk di Kampung Kebun Baru dan Ladang Byram, yang mana penduduknya telah dipindahkan berikutan asap toksik daripada kawasan kebakaran mengakibatkan pencemaran udara.

Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan Marlia Mohd Belia memaklumkan 45 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) manakala selebihnya berpindah sementara ke rumah ahli keluarga, dan bagi yang enggan berpindah, pihaknya membuat pemantauan secara berkala bagi memastikan mereka selamat.

Selain itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menggunakan dron khas untuk memantau tapak pelupusan bagi mengesan sama ada terdapat kesan haba baharu manakala dari segi indeks pencemaran udara pula, terdapat penurunan bacaan berbanding semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi Jason H'ng Mooi Lye.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:42 PM