Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung. FOTO NSTP
Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kertas siasatan pendakwaan terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal Pulau Burung fasa 1 di Nibong Tebal, Pulau Pinang sedang dilengkapkan ekoran kebakaran di kawasan itu sejak 12 Januari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi kesalahan pembakaran terbuka dan mengikut Seksyen 34A AKAS 1974 bagi pelanggaran syarat Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).

"JAS meneruskan pemantauan dan pengukuran kualiti udara di kawasan berhampiran penduduk dengan menggunakan alat 'portable particulate analyser' di lokasi dikenal pasti.

"Sementara alat 'portable gas analyser' pula ditempatkan di kawasan sensitif bagi mengukur kehadiran gas toksik di sekitar tapak pelupusan sisa pepejal berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menempatkan stesen pemantauan kualiti udara bergerak di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, Nibong Tebal.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan bagi mengukur status kualiti udara untuk mendapatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit.

"Kawasan kebakaran di tapak pelupusan sisa pepejal ini telah padam sepenuhnya, namun lokasi itu masih berasap disebabkan proses penguraian timbunan sisa sampah yang menghasilkan gas metana mudah terbakar.

"Kejadian itu tidak dipengaruhi keadaan geologi tanah di kawasan berkenaan kerana ia bukan daripada jenis tanah gambut yang mudah terbakar.

"Berdasarkan kajian di bawah Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut Mudah Terbakar untuk Mengatasi Jerebu di Malaysia oleh JAS tahun 2019 dan Peta Taburan Tanah Gambut oleh Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan Pulau Pinang tidak mempunyai kawasan tanah gambut yang boleh dikaitkan dengan kejadian kebakaran ini," katanya.

Terdahulu, kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dilaporkan berlaku pada petang 12 Januari lalu dan penduduk berhampiran diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Januari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati kira-kira 11 hektar tanah terbakar dan kerja pemadaman api dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 10:15 PM