Kepulan asap kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini, sejak Rabu lalu, yang boleh dilihat dari atas Jambatan Kedua Pulau Pinang. FOTO IHSAN SAM
Kepulan asap kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini, sejak Rabu lalu, yang boleh dilihat dari atas Jambatan Kedua Pulau Pinang. FOTO IHSAN SAM
Zuhainy Zulkifffli


Seberang Perai: Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Syarikat PLB Terang Sdn Bhd selaku pihak menguruskan tapak pelupusan sampah Pulau Burung supaya menyelesaikan segera isu kebakaran di tapak itu yang sudah berlarutan sejak Rabu lalu.

Presidennya Meenakshi Raman berkata, kebakaran yang masih dalam proses pemadaman itu merebak ke kawasan dianggarkan berkeluasan 4.05 hektar.

"Kepulan asap busuk disebabkan oleh sisa pepejal yang terbakar memenuhi ruang udara seakan jerebu dan memasuki penempatan penduduk.

"Antara kawasan diancam pencemaran udara itu ialah Kampung Baru Byram, Kampung Changkat, Kampung Bagan Buaya, Kampung Titi Hitam, Kampung Pengkalan, Kampung Jawi serta Taman Perumahan Desa Jawi," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan mengenai kebakaran itu dan kerja memadam api membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, BBP Sungai Bakap dan BBP Bayan Baru.

Meenakshi berkata, SAM bimbang kesihatan orang awam terjejas terutama warga emas, mereka yang uzur dan kanak-kanak, memandangkan kandungan sampah yang tidak dapat dipastikan serta berkemungkinan melepaskan gas toksik.

"Sehubungan itu, SAM berharap supaya perkara ini ditangani dengan segera dan pihak pengurusan mengambil iktibar kejadian berlaku. Kami juga menyeru pihak berkenaan mendedahkan punca sebenar kebakaran kerana orang awam berhak tahu," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 6:58 PM