Zaid Salim


"SETIAP tahun saya jual antara 150 hingga 180 lembu untuk Hari Raya Korban, tetapi tahun ini disebabkan wabak Covid-19, hanya 80 sahaja mampu dijual," kata penternak dari Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus, Mohd Saiful Hafez Alias.

Mohd Saiful Hafez, 40, yang lebih dikenali sebagai Awang berkata, semua lembu ternakannya dibawa masuk dari Thailand selain ada diperoleh daripada penternak tempatan di Keratong, Bera dan Jerantut, Pahang.

Dia yang berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang penternakan berkata, kesan daripada pandemik Covid-19, terdapat sedikit kenaikan harga haiwan berkenaan.

"Harga lembu saya jual antara RM4,200 hingga RM5,000 seekor dan saya turut menyediakan khidmat penyembelihan lembu korban.

"Saya kenakan caj RM40 seekor untuk sembelih sehingga lapah dan mereka yang mengambil bahagian korban atas lembu terbabit hanya datang mengambil dagingnya sahaja," katanya yang memiliki empat pekerja tetap.

Awang memberi makan kepada lembu peliharaannya. FOTO GHAZALI KORI
Awang memberi makan kepada lembu peliharaannya. FOTO GHAZALI KORI

Beliau berkata, pada tahun ini, 30 lembu akan dikorbankan di tapak penyembelihan miliknya di kawasan kandang berkenaan selama tiga hari.

Menurutnya, pada hari pertama Aidiladha, sebanyak 15 ekor, diikuti 10 ekor pada hari kedua dan lima pada hari ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 2:17 AM