Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Seorang penternak lembu menanggung kerugian RM15,000 selepas ternakannya di Kampung Tanjung Binjai, Batu Rakit di sini mati disambar petir, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, lapan lembu milik Zakaria Mamat, 55, yang berusia antara satu hingga enam tahun ditemui mati bergelimpangan di atas tanah di kebun kelapa sawit dalam keadaan mulut dan hidung berbuih.

Difahamkan, ketika kejadian, lapan ekor lembu milik Zakaria berlindung daripada hujan lebat di bawah sebatang pokok kelapa sawit.

Zakaria berkata, dia yang sedang mengait buah kelapa sawit di kebun berhampiran menerima panggilan telefon daripada rakannya memaklumkan lembunya mati disambar petir.

Zakaria menunjukkan kesan petir pada pokok di Kampung Tanjung Binjai, Batu Rakit. FOTO GHAZALI KORI
Zakaria menunjukkan kesan petir pada pokok di Kampung Tanjung Binjai, Batu Rakit. FOTO GHAZALI KORI

Katanya, selepas panggilan itu, dia segera ke kebun sawit kira-kira jam 5 petang semalam sebaik hujan reda dan mendapati lapan daripada 48 ekor lembunya mati bergelimpangan selain ternampak kesan dipanah petir pada batang pokok kelapa sawit.

"Berdasarkan kesan pada pokok, saya percaya lembu mati akibat dipanah petir sebelum bangkai ternakan itu ditanam menggunakan jentolak kira-kira jam 8.30 malam tadi (semalam).

"Ini kali pertama saya kehilangan lembu peliharaan akibat mati dipanah petir sejak lebih 30 tahun menjadi penternak.

"Walaupun sedih dengan kejadian menimpa, saya anggap apa yang berlaku adalah ujian Allah SWT," katanya yang mempunyai kira-kira 40 ekor lembu lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 5:49 PM