AFTRA Alia dijaga keluarga angkat sejak berusia 10 bulan. FOTO ihsan Isham Md Razali
AFTRA Alia dijaga keluarga angkat sejak berusia 10 bulan. FOTO ihsan Isham Md Razali
Ruwaida Md Zain


LELAKI menjejaki ibu kandung kepada anak angkat dijaganya bagi mendapatkan sijil kelahiran kanak-kanak itu.

Isham Md Razali, 52, ketika ditemui berkata, kanak-kanak yang dijaganya sejak berusia 10 bulan dan kini berusia enam tahun memerlukan sijil kelahiran bagi kemasukan ke sekolah rendah tahun hadapan.

"Macam-macam cara saya usahakan untuk mencari ibu kandung kepada anak saya untuk dapatkan sijil kelahiran sebab dia perlu teruskan hidup seperti anak-anak lain yang sebaya.

"Sehingga kini, saya tak dapat daftarkan dia sebab dia tiada sijil kelahiran. Saya sayang dan kesian sangat pada anak angkat saya ini, saya sudah anggap dia seperti anak sendiri sebab kami tiada anak perempuan.

"Jadi, saya harap sangat mereka yang mengenali ibu kandung anak angkat saya ini yang nama asal semasa saya ambil dia, Mala Nurkumalasari yang lahir pada 19 Disember 2014, tetapi sebaik saya ambil dia, saya daftar sebagai Aftra Alia Inara," katanya.

Isham menjelaskan, dia sanggup menerima anak itu kerana individu yang menyerahkan berjanji akan memberikan segala dokumen berkaitan namun sehingga kini, janji tinggal janji.

"Pada 2015 di Kampung Jawa Klang, saya sanggup terima anak angkat saya ini sebab Kak Lina (dikenali melalui rakan sekerja isteri ketika itu) janji nak bagi dokumen lengkap.

"Tapi lepas bagi anak pada kami, Kak Lina lesap hingga sekarang, cari di rumah pun tiada, telefon tiada dalam perkhidmatan, Facebook pun gagal dicari, saya buntu.

Katanya, walaupun tiada sijil kelahiran sepanjang membesarkan anaknya itu, segala kebajikan dan keperluan lain anak itu disediakan.

"Sebaik mengambil dari Kak Lina, saya buat laporan polis, dapatkan rawatan di klinik seperti anak lain, suntikan seperti biasa, ada laporan kesihatan, pernah iklankan di surat khabar pada 2015, saya hantar ke tadika.

"Saya juga berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk daftar lewat kelahiran, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga ada menemuduga saya berhubung perkara ini, tetapi dokumen saya tidak lengkap kerana tiada sijil kelahiran dia.

"Sebab itu, saya amat berharap sesiapa yang mengenali Kak Lina, dapat membantu menjejakinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 11:17 AM