Hizatul Isham ketika sidang media selepas Mesyuarat Khas Pimpinan Tertinggi DPPMS di Wisma Rozali, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Hizatul Isham ketika sidang media selepas Mesyuarat Khas Pimpinan Tertinggi DPPMS di Wisma Rozali, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Membaiki kemudahan serta infrastruktur menjadi tumpuan utama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Hizatul Isham Abdul Jalil.

Katanya, walaupun bertaraf bandar raya, namun masih ada segelintir kawasan yang kemudahan serta infrastrukturnya tidak dijaga dengan baik.

"Sebab itu, saya lihat kita perlu selesaikan masalah ini dulu sebelum melakukan perkara lain," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Selangor (DPPMS) di Wisma Rozali di sini, hari ini.

Katanya, lebih 165,000 pemilih layak mengundi pada PRU kali ini.

Isham berkata, memasuki tempoh kempen minggu kedua, beliau memberi tumpuan kepada penduduk di sekitar Setia Alam, Denai Alam dan Seksyen 2.

"Pada minggu pertama kita sudah melawat Seksyen 16, Taman Kebun Bunga dan beberapa lagi kawasan yang dikategorikan penduduk susah, kerana bagi saya kita kena bantu semua orang," katanya

Sementara itu, Presiden DPPMS, Tan Sri Rozali Ismail berkata, bagi melakukan perubahan menyeluruh dari segala aspek ia memerlukan kemahuan politik dalam kalangan rakyat untuk menukar kerajaan agar perubahan fizikal secara dasar dapat dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 5:18 PM